KUCHING, 13 Oktober: Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman mendedikasikan Penganugerahan Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran ‘Dato’ kepada seluruh masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Tupong menjelaskan bahawa tanpa kerjasama dari semua pihak yang membantu dirinya dalam menjalankan tugas selaku wakil rakyat akan mustahil untuk mampu meraih penganugerahan tersebut.
“Pingat yang diperoleh saya dedikasikan khas kepada semua masyarakat kita di kawasan N6 Tupong terutama sekali termasuklah bagi mereka di kawasan Kampung Paroh ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Program Jiwa Komuniti Madani DUN N6 Tupong di Dewan Serbaguna Kampung Paroh di sini, pada Ahad.
Dato Fazzrudin Abdul Rahman menerima darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ke-78, di Astana Negeri Sarawak.
Antara senarai 18 penerima Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran ‘Dato’ ialah Ahli Parlimen Betong, Dr. Richard Rapu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier, Fazzrudin Abdul Rahman, Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Othman, Setiausaha Akhbar kepada Premier, Ambrose Cheng Loi Hee dan ADUN Kabong, Mohd Chee Kadir. – TVS