KUCHING, 13 Okt: Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu sebelah kiri jalan di Jalan Usaha Jaya di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisoner Farhan Lee Abdullah berkata, dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa berusia 20-an menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda dari arah bulatan Usaha Jaya menuju ke arah kawasan Perindustrian Kuching.
“Mangsa telah dibawa oleh pihak ambulans ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapat rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 1.07 pagi oleh pegawai perubatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan melulu atau merbahaya sehingga menyebabkan kematian yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum sebanyak RM50,000 jika disabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak polis menyeru agar mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Rashdan Rosli di talian 013-6204758 / 082-259900 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
“Pengguna jalan raya adalah dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu serta mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya bagi memastikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain agar selamat sampai ke destinasi,” ujarnya.-TVS