MIRI, 13 Okt: Mangsa lapan buah rumah yang terlibat kebakaran di Taman Ceria Bandar Baru Permyjaya pada petang semalam menerima bantuan segera seperti makanan, pakaian dan keperluan sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, menggesa pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menghulurkan bantuan kepada anak-anak mangsa yang masih bersekolah.
“Sudah tentu makanan, selain bantuan segera untuk meringankan beban mereka dan untuk anak-anak mereka yang masih bersekolah seperti baju seragam sekolah. Itu semua akan diatur. Seperti biasa, bantuan segera diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat mangsa kebakaran di Taman Ceria Bandar Baru Permyjaya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, mengenai punca kebakaran beliau meminta agar pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menjalankan siasatan.
“Jadi saya memberitahu bomba di sini untuk menjalankan siasatan penuh mengenai punca kebakaran. Begitu juga dengan pasukan forensik akan datang dan melakukan siasatan mengenai perkara ini,” ujarnya.
Sementara itu, mangsa juga diminta untuk berhubung terus dengan pihak Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) berkenaan insurans dan rumah yang masih dalam ansuran pembayaran.
Sebanyak lapan unit rumah teres dua tingkat di Taman Ceria Bandar Baru Permyjaya terbakar petang semalam.
Komander Operasi Mohammad Faizul Ali berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut sekitar jam 3.05 petang Sabtu dan menggerakkan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong dibantu BBP Lopeng.
Kebakaran tidak melibatkan kemalangan jiwa. – TVS