KUCHING, 13 Okt: Komuniti nelayan penting dalam pembangunan negara terutama dalam menyumbang kepada bekalan ikan dan hasil laut di negara dengan konsisten bagi memenuhi keperluan rakyat.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, kerajaan komited memberikan bantuan kepada komuniti nelayan bagi memastikan kebajikan mereka terus dibela sekali gus mendorong mereka untuk lebih produktif dalam meningkatkan hasil tangkapan.
Katanya, bantuan kepada mereka tidak hanya terhad kepada peralatan perikanan mahupun wang tunai sahaja namun terdapat juga bantuan perumahan diberikan khas kepada nelayan.
“Saya ada berbicara dengan rakan-rakan saya dalam bidang ekonomi dan mereka mengadu, mengeluh kenapa kerajaan perlu beri bantuan yang banyak kepada nelayan.
“Tak cukup dengan bantuan itu kerajaan bagi lagi Bantuan Perumahan, ada rumah yang rosak, bumbung dia pecah dan sebagainya kita baik pulih secara percuma,” katanya.
Beliau berucap semasa Program Rahmah Mesra bersama nelayan Persatuan Nelayan Sri Muara (PNK Sri Muara) di Muara Tebas pada Ahad.
Pada majlis itu lebih 100 orang nelayan mendapat bantuan pukat dan juga satu paket beras 10 kilogram.
Anak-anak nelayan turut menerima beg serta sumbangan wang tunai bagi mereka yang melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda. -TVS