LIMBANG, 13 Okt: Pertandingan Aerobikton 2024 yang disertai hampir 50 pasukan berkumpulan dan individu di Limbang berjaya mengangkat semangat kesukanan ke peringkat lebih tinggi.
Kejohanan anjuran Kelab Aerobik Padang dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Bahagian (PBSB) Limbang diadakan dalam membudayakan dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas dan aktif.
Pengerusi Kelab Aerobik Padang, Julia Ali berkata, pihaknya mengorak langkah ke hadapan dalam mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan terutama kepada warga emas.
Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan visi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga emas untuk memastikan kesihatan fizikal, rohani dan mental golongan itu terpelihara.
“Pertandingan Aerobikton anjuran Kelab Aerobik Padang dengan kerjasama PBSB Limbang bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan kesihatan untuk semua.
“Kita berfokus kepada sihat untuk jantung dan penyertaan kali ini amat menggalakkan,” katanya ketika ditemui pada Pertandingan Aerobikton 2024 sempena Hari Sukan Negara 2024 di Dewan Suarah Limbang hari ini.
Katanya, Kelab Aerobik Padang menjalankan pelbagai program kesihatan khususnya senamrobik di Bahagian Limbang dalam usaha menyebarkan kesedaran dan menggalakkan komuniti untuk mengambil bahagian dalam aktiviti senaman dengan lebih kerap.
Beliau mahu golongan warga emas di daerah Limbang untuk bergiat aktif dengan menyertai pelbagai program kesihatan dan senamrobik yang diadakan. – TVS