JAKARTA, 13 Okt: Banjir besar melanda Tebing Tinggi, Sumatera Utara, akibat hujan yang berlaku sejak Khamis lalu menyebabkan tiga sungai besar di wilayah itu melimpah dan air sampai ke perkampungan penduduk.
Berdasarkan laporan Badan Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), sekurang-kurangnya 2,921 rumah dinaiki air dengan paras air di bawah dua meter dan 10,586 orang terjejas manakala seorang dilaporkan masih hilang dan sedang dicari oleh pasukan mencari dan menyelamat ( SAR).
Menurut Jurucakap BNPB Abdul Muhari, pihaknya terus memantau perkembangan banjir yang menenggelamkan lima daerah di situ.
“Ketika ini, pengendalian dan pemindahan mangsa terjejas masih dijalankan oleh agensi terbabit termasuk penyelarasan bagi memastikan tindak balas yang berkesan di semua mukim yang dinaiki air,” katanya.
Mukim yang dilanda banjir termasuk mukim Rambutan, Tanjung Marulak Hilir, Tebing Tinggi Kota, Padang Hulu, dan Padang Hilir.
Pusat pemindahan sementara untuk mangsa telah disediakan di lokasi terjejas, dan pengagihan bantuan logistik juga sedang dijalankan.
Selain itu, usaha mencari mangsa di Sungai Bahilang oleh pasukan bersama turut giat dijalankan.
BNPB menggesa orang ramai supaya peka dengan potensi banjir yang lebih teruk berikutan hujan yang dijangka berlaku dalam beberapa hari lagi. – TVS