KUCHING, 12 Okt: Isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi mendahului senarai 39 penerima darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ke-78, di Astana Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau merupakan antara dua individu yang menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang (DP) Sarawak yang membawa gelaran Datuk Patinggi.
Penerima lain termasuk Pengerusi Yayasan Tun Jugah Tan Sri Leonard Linggi Jugah.
Sementara itu, empat penerima dianugerahkan Darjah Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran Dato Sri.
Mereka termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli, mantan Senator Temenggong Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad, Peguam Besar Negeri, Datu Saferi Ali, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel.
Majlis turut menyaksikan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii dianugerahkan Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran Datuk bersama dua lagi penerima iaitu Setiausaha Sulit Kanan Premier Sarawak, Datu Khir Busrah, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RECODA, Datu Ismawi Ismuni.
Istiadat diteruskan dengan pengurniaan Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran Datu kepada 12 penerima.
Mereka termasuk Jafri Lias, Sirai Daha, Elizabeth Loh, Abang Ahmad Abang Morni, Hamdan Sharbini, Michael Ronnie Langgong, Nyurak Keti, Kueh Lei Poh, Jack Liam, Jonathan Lugoh, Mersal Abang Rosli dan Profesor Dr Neilson Ilan Mersat.
 
Manakala, mendahului senarai 18 penerima Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran ‘Dato’ ialah Ahli Parlimen Betong, Dr. Richard Rapu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier, Fazzrudin Abdul Rahman, Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Othman, Setiausaha Akhbar kepada Premier, Ambrose Cheng Loi Hee dan ADUN Kabong, Mohd Chee Kadir.
Turut menerima anugerah sama ialah Datin Amar Enn Ong Siok Ean, Dato’ Lee Heng Cheong, Dato’ Seri Khaw Kok Chin, Sudarnoto Osman, Archbishop Dr Simon Peter Poh Hoon Seng, Jefri Ahmad Tambi, Brigedier Jeneral Kamarulzaman Mohd Yunos, Abang Abdillah Izzarim, Abang Arabi Abang Narudin, Dr Wee Kam Siak @ Julian Wee Kam Siak, Shankar Ram Pohumall, Jacqueline Fong Yean Yee, dan Su’ut Johari.
Majlis pada hari ini turut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, dan timbalan-timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Terdahulu, Tun Wan Junaidi dan isteri menghadiri Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa di Padang Merdeka yang disertai 78 kontinjen kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun, persatuan, pertubuhan, swasta dan sebagainya.
Istiadat Perbarisan ini serta Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Negeri Sarawak merupakan dua daripada tujuh acara utama diadakan sempena ulang tahun kelahiran TYT yang ke-78. – TVS