KUCHING, 12 Oktober: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mempunyai sebarang halangan dan bersedia menyerahkan kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Ops Global sebelum ini kepada keluarga atau penjaga sah mereka.
Bagaimanapun menurut Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keluarga atau penjaga sah terbabit perlu memberikan bukti kukuh di mahkamah bahawa kanak-kanak yang dimaksudkan itu adalah anak kandung mereka.
Tindakan pembuktian itu penting sebelum penyerahan kanak-kanak itu dilakukan agar keselamatan dan kebajikan kanak-kanak terbabit sentiasa terjamin.
“Kita tidak mempunyai masalah untuk berbuat begitu (menyerahkan kanak-kanak) kepada ibubapa atau penjaga sah mereka kerana kita tidak suka memisahkan ibubapa daripada anak mereka.
” Jika mereka memiliki dokumen atau bukti kukuh maka kita akan serahkan kerana sebagai ibubapa kita pasti akan ada simpan surat beranak atau dokumen-dokumen yang membuktikan ini anak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Mind Games: Kamek The Best di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong di sini pada Sabtu.
Nancy berkata, JKM tidak mempunyai sebarang niat untuk memisahkan kanak-kanak terbabit daripada keluarga mereka seperti didakwa segelintir pihak yang mendakwa mewakili keluarga kanak-kanak yang di selamatkan itu.
Tindakkan yang dilakukan JKM katanya dilakukan berdasarkan lunas undang-undang yang tertakluk kepada perintah mahkamah untuk memastikan keselamatan serta kebajikan kanak-kanak terlibat terjamin.
Menurutnya, daripada 454 kanak-kanak yang telah selesai dilakukan profiling daripada kesuluruhan 559 kanak-kanak yang mempunyai perintah mahkamah 1.5 peratus daripadanya memaklumkan tidak pernah berjumpa dengan ibu bapa atau keluarga mereka manakala 0.22 peratus lagi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Keadaan itu memberikan cabaran kepada JKM untuk melaksanakan tindakkan menyerahkan kanak-kanak tersebut kepada individu yang mendakwa sebagai ibu atau bapa kepada kanak-kanak terbabit.
Dalam dua siri Op Global sebelum ini, seramai 660 kanak-kanak diselamatkan namun hanya 559 kanak-kanak yang masih ditempatkan dibawah jagaan JKM oleh Mahkamah.
Sementara selebihnya diserahkan kepada keluarga mereka susulan tiada tindakkan lanjut mengenainya daripada Majlis Agama Islam dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenainya. -TVS