Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-78 Yang di-Pertua Negeri Sarawak.Foto Nadim Bokhari (TVS)

Terima kasih Tun Wan Junaidi

KUCHING, 12 Okt: Rakyat Sarawak menunjukkan rasa terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar atas jasa dan khidmatnya sepanjang berkhidmat dalam arena politik di negara ini.

Rasa terima kasih itu disampaikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mewakili rakyat  di wilayah ini.

Beliau berkata Tun Wan Junaidi bertungkus lumus dalam memperjuangkan hak Sarawak dan memastikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dihormati serta diiktiraf dalam Perlembagaan Malaysia.

“Tun Dr Wan Junaidi adalah tokoh yang mencurahkan bakti dengan penuh dedikasi sepanjang tempoh beliau berkhidmat dalam pelbagai kapasiti walaupun terpaksa berhadapan dengan cabaran dan kekangan demi ibu pertiwi.

“Inilah sifat yang mencerminkan semangat juang anak jati Sarawak yang tetap akan maju ke hadapan dengan semangat ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ walaupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan,” katanya ketika berucap pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-78 Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Padang Merdeka hari ini.

Diangkat sebagai tokoh negarawan negara, Abang Johari menyeru anak Sarawak mencontohi ketabahan dan kecekalan Tun Dr Wan Junaidi dalam mencurahkan jasa serta bakti kepada masyarakat, wilayah dan negara.

Bukan itu sahaja, beliau turut berkata, kebijaksanaan Tun Dr Wan Junaidi sebagai Ketua Negeri akan terus memperkukuhkan Sarawak sebagai lambang perpaduan dan kestabilan di negara ini yang menjadi tonggak penting kepada pembangunan ekonomi Bumi Kenyalang ini.

“Sejak memegang jawatan sebagai Ketua Negeri mulai Januari lepas, terserlah ketokohan Tun Dr Wan Junaidi sebagai seorang tokoh yang berpengalaman luas, senang didekati oleh rakyat dan sentiasa mesra dalam menyantuni rakyat pelbagai latar belakang dan kedudukan.

Abang Johari yakin Sarawak akan terus kekal menjadi contoh perpaduan rakyat yang menjadi salah satu tunjang utama kejayaan wilayah ini.

Selain itu, beliau turut menyampaikan laporan ekonomi Sarawak yang berlandaskan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang terbukti mampu melonjakkan ekonomi Sarawak ke satu tahap lebih tinggi berbanding 10 tahun yang lepas.

Ini kerana Kerajaan Sarawak kini sedang merangka pelbagai inisiatif ke arah mentransformasikan ekonomi yang berasaskan inisiatif sifar karbon dan tenaga hijau sejajar dengan usaha sejagat untuk menangani perubahan iklim dunia.

“Bank Dunia terus mengiktiraf Sarawak sebagai sebuah wilayah dengan ekonomi berpendapatan tinggi pada 2023 dengan kadar GNI per kapita pada tahap USD16,500 berbanding USD15,000 pada tahun 2022, dan melepasi tahap USD14,005 yang ditetapkan oleh Bank Dunia bagi tahun 2023.

“Di samping itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak meningkat kepada RM146 billion serta pendapatan Sarawak terus meningkat kepada RM13.1 bilion bagi 2023 dan saya yakin ia meningkat lagi bagi tahun 2024,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Premier Sarawak yakin dan percaya Sarawak di bawah naungan Yang di-Pertua Negeri Sarawak akan terus menjadi sebuah wilayah yang maju, aman dan makmur dengan impian untuk menjadi kuasa ekonomi hijau di negara ini dan juga di rantau Asia. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan