KUCHING, 12 Oktober: Sarawak mampu menjadi salah satu hab industri muzik tanah air, kata Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Dato Fazzruddin Abdul Rahman.
Beliau berkata, pelancaran Extended Play (EP) Sesuatu Yang Menakjubkan oleh Adruce Azman merupakan sesuatu yang bersejarah kepada industri muzik di Sarawak untuk melangkah maju ke hadapan.
Menurutnya, impian untuk menjadi salah satu hab industri muzik tanah air sudah ada namun ia memerlukan strategi dan struktur pengendalian yang baik selain mendapat sokongan daripada masyarakat di Sarawak.
Tambahnya, sokongan daripada Kerajaan Sarawak juga diperlukan bagi menambah platform dan mengangkat bakat seni anak tempatan agar projek dirancang dapat direalisasikan.
“Impiannya sudah ada, apa yang perlu adalah strategi dan struktur yang baik untuk industri muzik di Sarawak,” katanya semasa melancarkan EP Sesuatu Yang Menakjubkan di Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) pada Jumaat.
Fazzrudin berkata, ke arah Sarawak menuju wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030, adalah perlu untuk menyediakan pasaran yang diperlukan industri muzik termasuk menyediakan platform untuk bakat muda atau tempatan berkembang.
“Sarawak kini sudah mempunyai pelbagai platform terbaik yang boleh disertai artis tempatan termasuk stesen penyiaran milik Kerajaan Sarawak iaitu TV Sarawak,” ujarnya.-TVS