GEORGE TOWN, 12 Okt: Seorang penjawat awam dan tiga pelajar sekolah antara tujuh individu disyaki terbabit dalam kegiatan lumba haram diberkas polis pada operasi di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berdekatan Seagate di sini hari ini.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, Operasi Samseng Jalanan selama 11 jam bermula pukul 11 malam tadi itu turut membabitkan pasukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Hasil operasi, pihak JSPT menahan tujuh penunggang motosikal di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang turut membabitkan seorang penjawat awam dan tiga pelajar sekolah.
“Dua motosikal disita di bawah Seksyen 64(1) akta sama selain 21 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” kata kenyataan itu hari ini.
Tambah kenyataan tersebut, JPJ turut menahan dua motosikal di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987 dan mengeluarkan 17 keping saman.
Katanya, JSPT Pulau Pinang menasihati pengguna jalan raya agar tidak melibatkan diri dengan aktiviti lumba haram yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain. – TVS