BANGKOK, 12 Okt: Festival Islam Antarabangsa (IFF) ke-46 menarik minat Raja Permaisuri Thailand, Permaisuri Suthida Bajrasudhabimalalakshana di Mandarin Oriental Bangkok.
“IFF dan saya berbangga kerana Raja Permaisuri Thailand bersetuju untuk hadir menyaksikan IFF Bangkok 2024.
“Ia adalah satu keistimewaan kerana buat pertama kali permaisuri berkenan menyerikan acara IFF,” kata Pengasas dan Pengerusi IFF Datuk Seri Raja Rezza Shah.
Di bawah naungan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, IFF Bangkok diadakan buat pertama kali di ‘City of Angels’, menandakan berakhirnya pertunjukan IFF di lima negara Asia Tenggara (ASEAN).
“IFF bermula pada 2006 di Kuala Lumpur untuk mengukuhkan hubungan antara keluarga diraja dan rakyat pelbagai negara menerusi platform seni, fesyen dan budaya,” ujar Rezza Shah.
Beliau berkata, objektif lain adalah mengumpul dana untuk rumah anak yatim, membantu golongan kurang mampu, keperluan perubatan dan mangsa bencana.
IFF Bangkok 2024 dihadiri kerabat diraja, diplomat, pegawai kerajaan, sosialis, selebriti dan pereka fesyen.
Kerabat diraja yang hadir di IFF Bangkok 2024 termasuk Tengku Ampuan Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin dan Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra.
Tetamu lain di IFF Bangkok 2024 termasuk anak kepada bekas Presiden Indonesia, Titiek Soeharto dan Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis.
IFF Bangkok 2024 turut menarik minat kerabat diraja dari Fujairah, UAE untuk bersama-sama menyerikan acara Islamic Fashion Festival Bangkok 2024. Selain Malaysia,
IFF sebelum ini turut dihadiri keluarga diraja dari Monaco, Belanda dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Bertemakan ‘Aisvarya’ dari bahasa Sanskrit yang bermaksud kemakmuran, kemewahan dan kekayaan, IFF Bangkok 2024 menampilkan pereka fesyen dan tukang emas dari Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Pereka seperti Dato Tom Abang Saufi dari Kuching, Ezuwan Ismail (Kota Bharu), Shanell Harun (Kuala Lumpur), Ghea Panggabean (Jakarta) dan Primus (Bangkok) turut serta.
Turut dipamerkan koleksi peribadi termasuk kain tenunan milik Rezza Shah yang antaranya berusia lebih 200 tahun. IFF Bangkok 2024 ditaja oleh Mandarin Oriental Bangkok, Lotus Art de Vivre dan Primus manakala televisyen dan media rasmi merupakan TV Sarawak dan Royal Selangor.
Lebih 400 pereka dan ciptaan dipamerkan pada IFF termasuk jenama antarabangsa seperti Kenzo Paris, Zang Toi, Stella MacCartney, Bruce Oldfield, Nitya, Etro dan Biyan.-TVS