MIRI, 12 Okt: Sebanyak enam unit rumah flat dua tingkat di Taman Ceria Bandar Baru Permyjaya terbakar petang tadi.
Komander Operasi Mohammad Faizul Ali berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut sekitar jam 3.05 petang dan menggerakkan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong dibantu BBP Lopeng.
“Kebakaran melibatkan enam unit rumah flat dua tingkat struktur kekal. Empat unit rumah flat terbakar keseluruhan manakala dua unit terbakar 60 peratus iaitu di bahagian atas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak bomba bertindak mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah sebelah.
“Anggota bomba membuat pemadaman dengan menggunakan dua aliran salur bantu dan dua aliran hos 200 kaki, empat nozel, pam jentera air dari pili bomba.
“Kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran itu,” ujarnya.-TVS