MARUDI, 12 Okt: Keadaan banjir di Rumah Panjang Ganing beransur pulih selepas dinaiki air awal pagi tadi.
Komander Operasi, Abdul Rahman Rosliee berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 4.46 pagi dengan menggerakkan empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati berlaku banjir kilat di Rumah Ganing Sungai Gudang yang telah beransur surut.
“Tindakan pasukan bomba di tempat kejadian seterusnya menjalankan pemantauan untuk memastikan penghuni kampung berada dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pasukan bomba juga menasihati penduduk kampung untuk mengambil langkah keselamatan diri.
“Tiada sebarang perpindahan dilakukan sepanjang pemantauan dijalankan di tempat kejadian.
“Setelah memastikan keadaan terkawal dan selamat, pasukan bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya. – TVS