MIRI, 12 Okt: Komuniti MADANI yang ditubuhkan di Miri harus memainkan peranan membantu kerajaan memberi maklumat tepat dan sahih kepada masyarakat setempat sekali gus mengukuhkan semangat perpaduan rakyat di negara ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, selain berperanan menyampaikan maklumat dan inisiatif kerajaan secara bersemuka, adaptasi secara atas talian wajar dikuasai oleh ahli Komuniti MADANI.
“Dalam kita mendepani era globalisasi masa kini, pelbagai platform media sosial tersedia untuk masyarakat mengakses sesuatu maklumat dengan adanya kemudahan sistem komunikasi. Kewujudan media sosial pula memudahkan penyaluran maklumat terkini dengan lebih pantas dan mudah untuk dicapai oleh pengguna Internet,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Kaunselor Leslie Lau di Program Jiwa Komuniti MADANI Peringkat DUN Piasau di sini, hari ini.
Tambahnya, kewujudan media sosial memudahkan penyaluran maklumat terkini dengan lebih pantas dan mudah untuk dicapai oleh pengguna Internet.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati ahli komuniti MADANI mengelak menyentuh isu sensitif yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian awam.
Katanya, gunakan kebebasan bersuara dengan sebaiknya dengan memikirkan perasaan orang lain serta mengelak unsur penipuan dan menghasut antara satu sama lain di laman sosial. – TVS