KUCHING, 12 Okt: Adruce Azman semalam secara rasmi melancarkan Extended Play (EP) Sesuatu Yang Menakjubkan dengan menjanjikan karya muzik yang kaya dengan kepelbagaian dan kesyahduan kepada pendengar.
Penyanyi tersebut berkata, pada masa kini beliau mahu melakukan persembahan di kafe di Kuching terlebih dahulu bagi mempromosi dan memperkenal dirinya.
Menurutnya, beliau juga berhasrat membuat persembahan di pentas muzik besar di Sarawak seperti Kuching Waterfront Jazz Festival dan Borneo Jazz Festival.
“Untuk jangka masa pendek, saya ingin membuat persembahan di kafe yang ada di Kuching terlebih dahulu untuk mempromosi Adruce Azman dan memperkenalkan pasukan kepada semua,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran EP Sesuatu Yang Menakjubkan di Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) pada Jumaat.
Adruce menjelaskan, sokongan rakan artis tempat amat diperlukan bagi memastikan impian Sarawak menjadi salah satu hab industri muzik tanah air mampu dicapai.
EP Sesuatu Yang Menakjubkan mengandungi enam lagu ciptaan sepenuhnya Adruce Azman dan sebuah logu cover lagenda muzik tanah air Tan Sri P. Ramlee iaitu Bunyi Gitar.
Ia dihasilkan dengan kerjasama AOK Records dan disokong Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).
Salah satu lagu di dalam EP Sesuatu Yang Menakjubkan iaitu Kuching Sarawak dirakam di studio terkenal dunia, Abbey Road Studios yang merupakan tempat merakam lagu band lagenda seperti The Beattles, Pink Floyd, Radiohead, Oasis dan Massive Attack.-TVS