KUCHING, 11 Okt: Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) berjaya menyiapkan 13 projek infrastruktur utama di beberapa daerah seperti Song, Kapit, Bukit Mabong dan Belaga sebagai usaha memajukan kawasan pedalaman Sarawak.
Pengerusinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia adalah sebahagian daripada 43 projek yang sedang dilaksanakan menggunakan peruntukan RM1.5 bilion.
“Setakat ini, sebanyak 43 projek infrastruktur telah dimulakan dengan 13 daripadanya siap sepenuhnya dan kebanyakannya melibatkan projek jalan.
“Ada juga projek bekalan air dan sosioekonomi yang mana bantuan diberikan kepada penerima untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga URDA Keenam di Menara Dewan Perdagangan dan Perindustrian Dayak (DCCI), hari ini.
Alexander yang juga Menteri Kerjaya Raya dan Ahli Parlimen Kapit berharap dana tambahan RM1.5 bilion dapat meneruskan pelbagai projek pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi di kawasan URDA.
Menurutnya, ia untuk memastikan akses lebih baik dibangunkan di kawasan terpencil sekali gus memudahkan mereka berhubung dengan bandar dan kawasan lain.
“Dana tambahan ini diperlukan kerana kita sudah mengenal pasti projek yang ingin dilaksanakan di daerah terlibat.
“Walaupun sudah ada pelbagai jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk memastikan kelancaran projek infrastruktur tetapi kami (URDA) ingin memantau perkembangan projek yang dibangunkan menggunakan dana Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, URDA bekerjasama dengan pihak luar bagi mempelajari kaedah pembangunan sosioekonomi berkesan termasuk dari Semenanjung Malaysia.-TVS