KUCHING, 11 Okt: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bercadang memperkenalkan pengajian berkaitan sukan pada masa akan datang.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, ia berdasarkan kelebihan dimiliki universiti tersebut yang mempunyai kemudahan sukan bertaraf antarabangsa.
Menurutnya, UNIMAS akan merangka program berkaitan sukan bagi menambah pilihan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tersebut.
“Insya-Allah kita akan buat perancangan untuk mewujudkan program berkaitan sukan di UNIMAS. Kita telah berbincang mengenai perkara ini sejak dua atau tiga tahun lepas.
“Dengan adanya fasiliti sedia ada, saya percaya ia melengkapkan cadangan penubuhan fakulti dan program perubatan berasaskan sukan selain program sukan khusus kepada bola sepak dan ragbi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Padang Sintetik di Arena Tun Tuanku Haji Bujang UNIMAS hari ini.
Sementara itu, Dr. Ahmad Hata menjelaskan, padang sintetik bernilai RM3.57 juta akan digunakan untuk sukan bola sepak dan ragbi.
“Fasiliti padang sintetik ini turut mendapat pengiktirafan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Lebih menarik lagi, padang sintetik ragbi merupakan yang pertama dibina di IPTA di Malaysia,” ujarnya.
Terdahulu, dua perlawanan persabahabatan bola sepak diadakan melibatkan empat pasukan iaitu Pasukan Pilihan Naib Canselor UNIMAS, Veteran UNIMAS, Pasukan Lagenda Ngap Sayot Sarawak dan TVS FC.
Hadir sama Pengarah Arena Tun Tuanku Haji Bujang, Zambari Baijuri dan Pengarah Pejabat Pembangunan UNIMAS, Humphrey Rayang Nelson Janang.-TVS