KUALA LUMPUR, 11 Okt: Seorang tukang urut wanita yang disyaki mengabaikan dan mendera dua anak lelakinya berusia enam tahun dan 13 bulan ditahan polis pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Azam Ismail berkata wanita berusia 41 tahun itu ditahan di Pudu dan direman sehingga 16 Oktober ini.
Jelas beliau, polis menerima aduan orang awam mengenai dua kanak-kanak yang dipercayai terkurung di dalam rumah kerana ibu mereka sudah lama tidak pulang.
“Kedua-dua kanak-kanak lelaki diselamatkan oleh Polis Ampang Jaya pada 7 Oktober dan dibawa ke Hospital Ampang bagi pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan parut lama dan baharu di seluruh badan dan mereka masih dirawat di hospital berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Mohd Azam berkata suspek memiliki satu rekod jenayah berkaitan kes curi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)/ 33 Akta Kanak-kanak 2001. -TVS.