KOTA KINABALU, 11 Okt: Sebuah premis di Kampung Tambalugu, Jalan Tamparuli, Tuaran, diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) selepas dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan barang kawalan, semalam.
Operasi jam 8.30 pagi itu menyaksika 8,600 liter minyak petrol dan diesel dirampas selepas dikesan disimpan tanpa permit sah.
Selain itu, pasukan operasi turut merampas 366 tong gas petroleum cecair (LPG) bersama 355 kilogram bungkus minyak masak peket.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslee Abd Rahman berkata, operasi dijalankan hasil maklumat yang diterima.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati ratusan tong gas LPG dan tong biru berisi minyak diesel serta petrol bersubsidi disimpan di kawasan premis terbuka berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati, semua tong biru berkenaan berisi 200 liter petrol dan diesel bersubsidi.
“Seorang lelaki berusia 48 tahun yang berada di premis berkenaan ditahan selepas gagal mengemukakan permit menyimpan gas daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Roslee berkata, pasukan operasi turut menemui sebuah lori membawa muatan 32 tong biru berisi petrol dan diesel.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM380,092 dan siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Premis berkenaan juga didapati tidak memiliki ciri-ciri keselamatan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan siasatan turut melibatkan Akta Perkhidmatan Bomba 1988,” katanya. – TVS