KUCHING, 11 Okt: Pihak polis berjaya menyelamatkan dua wanita warga asing berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun yang menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa dalam Op Pintas, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Farhan Lee Abdullah berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak membuat serbuan di sebuah rumah di Jalan Chawan di sini, sekitar jam 6 petang.
“Pihak polis turut menahan seorang wanita tempatan berusia 64 tahun untuk membantu siasatan, suspek direman bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
“Pihak polis menyeru orang awam untuk tampil menyalurkan sebarang maklumat berkaitan eksploitasi buruh paksa dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau menyalurkan maklumat di
balai polis yang berhampiran.
“Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Chris Olsen Ramlee di talian 082-241133,” jelasnya. – TVS