KUALA LUMPUR, 11 Okt: Kuwait memberi maklum balas positif berhubung hasrat Malaysia untuk mendapatkan pesawat tempur jenis FA-18 Hornet milik tentera udara negara itu, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menteri Pertahanan itu berkata, perkembangan itu susulan pertemuan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri Kuwait merangkap Menteri Pertahanan, Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah pada 9 Oktober lalu.
Katanya Negara Teluk itu kini memiliki 38 buah pesawat tempur selepas sebuah pesawatnya terlibat dalam kemalangan.
“Namun ia bergantung kepada dua perkara (untuk mendapatkan pesawat itu dengan yang) pertama (memerlukan) persetujuan Amerika Syarikat sebagai pembekal.
“(Yang kedua ialah) apabila Kuwait menerima pesawat baharu jenis itu yang dijangka sebelum akhir tahun depan,” katanya.
Beliau berkata dalam sidang media di Kementerian Pertahanan di sini hari selepas hadir Majlis Peluncuran Inisiatif Perajurit Broadband di Auditorium Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkataKuwait juga tiada halangan dengan permintaan itu malah mencadangkan supaya Malaysiamenubuhkan jawatankuasa perbincangan.
Dalam pada itu ketika disoal berhubung kewajaran kerajaan membeli pesawat terpakai itu, Mohamed Khaled menegaskan rancangan perolehannya sudah bermula sejak 2018.
“Penggunaannya masih wajar untuk kita kerana masa penerbangannya sekitar 2,000 ke 3,000 jam dengan ia mampu pergi sehingga 7,000 jam.
“Keduanya, kita lihat kepada perancangan pemodenan dengan setiap perkhidmatan dan bagi Tentera Udara Malaysia (TUDM), ia menepati kehendak mereka,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan langkah perolehan itu sebagai tepat dengan melihat keperluan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk menggantikan pesawat yang tamat fungsi.
“Untuk membeli sesebuah pesawat ia mengambil masa 10 tahun, kalau kita mahu beli sekali pun, perolehannya pada 2035.
“Kita harus sedar bahawa pada 2027 , pesawat HAWK yang terletak di Pangkalan TUDM Labuan itu semuanya sudah tamat penggunaan,” katanya. – TVS.