KUCHING, 11 Okt: Kenyataan berbaur kebencian yang tersebar di media sosial memupuk pemikiran negatif, meningkatkan prasangka dan memupuk kebencian antara kumpulan etnik serta agama.
Menteri Perpaduan, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, kajian mengenai kenyataan berbaur kebencian di Malaysia yang telah dilaksanakan mencadangkan beberapa langkah seperti penggubalan dasar dan undang-undang yang mengawal penyebaran kenyataan berbaur kebencian.
“Kerajaan boleh memperkenalkan pendidikan awam dan kempen kesedaran untuk mendidik masyarakat tentang bahaya kenyataan berbaur kebencian serta pelaksanaan program pendidikan khas untuk pengamal media termasuk wartawan dan pengurus media.
“Selain itu, kerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran dalam mengatasi kenyataan berbaur kebencian seperti memanfaatkan modal insan dan kepakaran mereka untuk mengadakan program kesedaran dan pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berharap penerapan dapatan kajian tersebut memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan komitmen berterusan.
Katanya, kajian yang dijalankan oleh Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta UPM Consultancy and Services Sdn Bhd itu menumpukan kepada pencapaian empat objektif utama.
Aaron berkata, secara praktikal hasil kajian yang mengambil masa selama enam bulan itu mencadangkan sembilan domain iaitu institusi pendidikan, keluarga, institusi keagamaan, dasar pemerintah, undang-undang negara, penguatkuasaan, kepimpinan, NGO dan aspek pengunaan media sosial.
Ujarnya, isu mengenai kenyataan berbaur kebencian menjadi semakin penting, kritikal dan serius seiring dengan perkembangan landskap kemajuan teknologi digital dan informasi terkini serta didorong oleh peningkatan penggunaan media sosial dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Ini boleh merenggangkan hubungan antara komuniti yang berbeza dan mencipta jurang lebih dalam yang seterusnya membawa kepada pengasingan sosial.
“Contohnya, penghinaan terhadap amalan keagamaan atau budaya tertentu boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan, memburukkan hubungan antara kumpulan yang terlibat sehingga boleh melemahkan perpaduan sosial,” katanya.
Tambah Aaron, media sosial bukan sahaja menjadi platform utama bagi tujuan komunikasi dan interaksi sosial, malah telah menjadi medium penyebaran dan penularan kenyataan berbaur kebencian.
Dengan langkah yang sesuai, kerajaan dapat memastikan masyarakat hidup dalam persekitaran lebih harmoni dan bebas daripada kenyataan berbaur kebencian.
Di Malaysia, masih belum terdapat kajian khusus untuk mengenal pasti tahap kefahaman, pengaruh dan kesan permasalahan kenyataan berbaur kebencian dalam masyarakat Malaysia.
Lantaran itu katanya, kajian tersebut dilaksanakan secara komprehensif bagi tujuan untuk mengisi kelompangan itu.-TVS