KUCHING, 11 Okt: Perdagangan borong dan runcit merekodkan jualan sebanyak RM149.2 bilion pada Ogos lalu.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menerusi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, ia sekali gus mencerminkan pertumbuhan sebanyak 4.7 peratus dari tahun ke tahun.
“Pertumbuhan ini didorong sektor runcit yang meningkat 5.9 peratus dengan jualan sebanyak RM64.1 bilion.
“Bagi indeks runcit melalui Internet, indeks ini meningkat 6.5 peratus tahun ke tahun bagi Ogos lalu yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.8 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengenai perdagangan borong, DOSM turut menjelaskan sektor tersebut meningkat sebanyak 3.7 peratus yang mencatkan jualan sebanyak RM66.2 bilion.
Katanya, walaupun terdapat sedikit penurunan sebanyak 0.5 peratus dari bulan ke bulan, subsektor tersebut kekal berada dalam landasan pertumbuhan positif.
“Dalam subsektor ini, jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup menyumbang kepada RM6.2 bilion dengan peningkatan kukuh sebanyak 7.8 peratus tahun ke tahun walaupun terdapat sedikit penurunan bulanan sebanyak 0.3 peratus,” ujarnya.
Beliau berkata, jualan borong makanan, minuman dan tembakau mencapai jualan sebanyak RM13.1 bilion dengan peratusan sebanyak tujuh peratus walaupun turun sebanyak 0.9 peratus bulan ke bulan.
Tambahnya, subsektor kenderaan bermotor juga mencatatkan pertumbuhan ketara melalui jualan sebanyak RM18.9 bilion dengan peningkatan sebanyak 4.1 peratus walaupun prestasi penurunan sebanyak 0.6 peratus.-TVS