KUCHING, 11 Okt: Enam agama di Sarawak bersatu mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sempena Majlis Kesyukuran Hari Kelahirannya ke-78.
Majlis anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) itu menjadi sebahagian daripada sambutan perayaan kelahiran Yang di-Pertua Negeri yang berlangsung di Hotel Riverside Majestic, hari ini.
Majlis doa kesyukuran itu melibatkan wakil dan ketua agama Buddha, Baha’i, Hindu, Tao,Kristian dan Sikh.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian hadir mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Keharmonian agama yang terdapat di Sarawak ini jelas menunjukkan keakraban setiap lapisan masyarakat dan mampu bersatu di bawah naugan Tun Wan Junaidi.
Pada Khamis, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) mengadakan majlis doa kesyukuran bertempat di Masjid Jamek Kuching yang turut dihadiri Tun Wan Junaidi dan Abang Johari.
Majlis tersebut merupakan sambutan perayaan hari lahir rasmi pertama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi selepas dilantik bermula 26 Januari lepas hingga 26 Januari 2028 bagi tempoh empat tahun.
Pelbagai acara dan pengisian menarik berlangsung sepanjang sambutan perayaan tersebut di Bandar raya Kuching bermula 10 Oktober hingga 13 Oktober.
Antaranya Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa di Padang Merdeka, Istiadat Pengurnaiaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Astana Negeri Sarawak dan Majlis Jamuan Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Sabtu ini serta Majlis Jamuan Teh di sebuah hotel terkemuka pada Ahad. – TVS