KUCHING, 11 Okt: Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat antarabangsa mampu mempercepatkan peralihan tenaga di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerjasama melibatkan InvestSarawak dan CRE International merupakana antara langkah penting melibatkan projek peralihan tenaga.
“Kerjasama adalah detik penting dalam perjalanan Sarawak untuk menjadi pemain tenaga boleh diperbaharui terkemuka di rantau ini.
“Kita komited untuk memastikan potensi Sarawak direalisasikan sepenuhnya dan perkongsian seperti ini akan memacu kita ke hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kerjasama antara InvestSarawak dan CRE International melibatkan peningkatan sektor tenaga diperbaharui Sarawak seterusnya memajukan inisiatif tenaga bersih di rantau ini.
“Ia sekali gus dapat menarik pelabur berpotensi dengan anggaran 1.5 bilion dolar Amerika (RM6.44 bilion),” ujarnya.
MoU antara InvestSarawak dan CRE International adalah untuk mengenal pasti lokasi sesuai bagi projek tenaga boleh diperbaharui, mentakrifkan mekanisme komersial dan kewangan selain kerjasama melibatkan pihak berkuasa tempatan.
Kerjasama itu dijangka dapat meningkatkan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui di Sarawak dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemampanan.-TVS