MARUDI, 11 Okt: Beberapa kawasan rendah di Marudi dilanda banjir hari ini.
Antara kawasan yang dilanda banjir ialah di Kampung Baru, Kampung Narum, Kampung Dagang dan kawasan Pasar Marudi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, walauoun keadaan cuaca baik dan cerah berlaku kenaikan paras air di kawasan itu
“Beberapa rumah yang berada di kawasan rendah mula terjejas dengan limpahan air melalui longkang utama dan belakang rumah.
“Jalan utama masih berkeadaan biasa kecuali di Jalan Kampung Narum, ada yang ditenggelami air pada paras setengah kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, terdapat juga rumah penduduk mula dimasuki air di tingkat bawah rumah.
“Keadaan hulu sungai yang diberitakan mulai surut, pasti akan menyumbang kenaikan air di kawasan Marudi.
“Pihak bomba turut menasihatkan penduduk setempat agar sentiasa waspada di musim banjir,” ujarnya. – TVS