JAKARTA, 11 Okt: Kerajaan Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya serangan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) di selatan Lubnan yang mencederakan dua anggota Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Kedua-dua anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) itu menganggotai pasukan petugas Indobatt XXIII-R mengalami kecederaan selepas terkena tembakan daripada kereta kebal IDF Merkava
Kedua-dua mereka kini sedang menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil.
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi berkata, beliau telah berhubung dengan komander kontinjen Garuda FHSQSU (Unit Sokongan Markas UNIFIL).
“Kita menekankan serangan ke atas pasukan pengaman adalah satu kesalahan serius dan IDF perlu menghormati serta memastikan keselamatan anggota UNIFIL,” katanya.
Menurutnya, UNIFIL juga telah mengeluarkan kenyataan yang meminta IDF mematuhi kewajipannya pada setiap masa.
“Kita juga menggesa siasatan dijalankan terhadap serangan itu dan meminta pelakunya bertanggungjawab,” ujarnya.
Indonesia mempunyai sekurang-kurangnya 1,232 pegawai terlibat dengan UNIFIL di kawasan Naqoura atau garis biru di bawah mandat UNSC bagi menyokong kestabilan Lubnan.-TVS