KOTA KINABALU, 11 Okt: Seorang pelajar luar bandar Sabah yang tidak mampu membayar yuran pendaftaran kemasukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini dapat merealisasikan impiannya selepas menerima bantuan kewangan daripada pelbagai pihak.
Crisnanalina Jumis, 20, yang berasal dari Paitan, Sabah, sebelum ini dilaporkan tidak dapat melanjutkan pelajarannya kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM3,000 walaupun telah menerima surat tawaran untuk ke universiti tersebut selepas menamatkan pengajian Tingkatan 6 di SMK Pitas.
Walaubagaimanapun, kisah pelajar tersebut mendapat liputan media tempatan di Sabah dan Crisnanalina akhirnya mendapat bantuan dari pelbagai pihak.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib, yang juga merupakan wakil rakyat kawasan tersebut (Ahli Dewan Undangan Negeri Sugut) tampil memberikan bantuan sebanyak RM3,000 bagi menampung yuran pendaftaran Crisnanalina, kelmarin.
James menegaskan komitmennya untuk membantu pelajar di kawasannya tanpa mengira fahaman politik, serta menggesa keluarga yang memerlukan bantuan untuk memaklumkan kepada pejabatnya.
Bantuan tersebut disampaikan melalui Setiausaha Perhubungan Awamnya, Justinus Jalang, di rumah keluarga Crisnanalina di Kampung Dalamas.
Selain itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor mengarahkan Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar untuk memudahkan urusan pendaftaran Crisnanalina termasuk menangguhkan bayaran yuran dan menyediakan bantuan tambahan seperti MyCare, bakul makanan, dan zakat untuk meringankan beban kewanganya.
Kementerian Pengajian Tinggi turut memberikan bantuan menerusi Yayasan Perkasa Siswa, yang menyumbangkan RM1,000 untuk membantu persiapan awal Crisnanalina di universiti. Timbalan Menteri, Datuk Mustapha Sakmud, mengucapkan terima kasih kepada pihak media dan masyarakat yang prihatin terhadap nasib pelajar luar bandar di Sabah, sambil menegaskan bahawa bantuan ini tidak hanya terhad kepada Crisnanalina, tetapi juga tersedia untuk pelajar-pelajar lain yang memerlukan.
Sementara itu, Crisnanalina meluahkan rasa terharu dan syukur atas sokongan yang diterimanya dan akan memulakan pengajiannya di UMS hari ini (11 Okt).
Kisah Crisnanalina mencerminkan cabaran yang dihadapi oleh ramai pelajar luar bandar di Sabah, terutamanya dari segi akses kepada bantuan kewangan dan masalah pencapaian internet yang lemah. Ia juga menunjukkan peranan pengamal media tempatan dalam mengutarakan masalah yang dihadapi oleh rakyat setempat, sekaligus menarik perhatian pihak yang berkuasa untuk mengambil tindakan segera.
Sebelum ini, Crisnanalina cuba memohon bantuan melalui laman web kerajaan negeri, tetapi gagal disebabkan masalah internet di kampungnya.
Sementara itu, James melancarkan Tabung Pendidikan Datuk James Ratib (DJR) yang akan bermula tahun depan bagi membantu pelajar dari kawasan Sugut menampung kos pendidikan seperti yuran pendaftaran. -TVS