Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata kementerian beliau akan menyiasat dakwaan nelayan Sandakan tentang penyelewengan diesel bersubsidi. Foto TVS

Dakwaan penyelewengan diesel di Sandakan dapat perhatian

KOTA KINABALU, Okt 11: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah sedang menyiasat dakwaan nelayan di Sandakan bahawa terdapat dua jeti yang tidak beroperasi secara tiba-tiba menerima agihan diesel bersubsidi sehngga menyebabkan mereka menghadapi masalah kekurangan bekalan bahan api tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, walaupun pengagihan diesel bersubsidi bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya, beliau tetap akan meneliti perkara itu kerana ia menjejaskan nelayan di Sabah.

“Saya juga baru mengetahui mengenai perkara ini. Kementerian sedang bekerjasama dengan agensi lain termasuk SPRM dan pihak polis kerana perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Namun, buat masa ini, saya tidak dapat mendedahkan lebih banyak maklumat kerana ia masih dalam siasatan. Kita tunggu keputusan siasatan dan kami akan mengeluarkan kenyataan mengenainya,” katanya.

Jeffrey berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Majlis Penutupan Latihan Simulasi Penyakit Rabies Negeri Sabah di Wisma Pertanian, Kota Kinabalu, pada Khamis.

Pada 30 September, lebih kurang 30 nelayan membuat bantahan aman di Kampung Pukat, Sandakan, Sabah untuk menuntut peningkatan kuota diesel dan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dalam proses pengagihan.

Ini susulan dakwaan Pengerusi Persatuan Perikanan Sandakan (Tongkang), Ng Chi Tshung, dua minggu lalu bahawa Sandakan yang sebelum ini mempunyai bekalan diesel bersubsidi sebanyak 2.8 juta liter sebulan untuk diagihkan kepada 426 pengendali vesel nelayan berdaftar di empat jeti di daerah itu tiba-tiba menghadapi masalah kekurangan serius bermula Julai tahun ini.

Selepas menyiasat masalah itu, persatuan tersebut mendapati terdapat dua lagi jeti yang didaftarkan pada bulan Julai yang menerima diesel bersubsidi tetapi tidak beroperasi.

Katanya, diesel bersubsidi berharga RM1.68 seliter berbanding RM2.15 seliter di stesen minyak dan ini menyebabkan nelayan yang tidak mampu untuk membeli diesel dengan harga tidak bersubsidi sehingga terpaksa mengurangkan perjalanan menangkap ikan secara drastik daripada empat kali sebulan kepada hanya sekali.

Walau bagaimanapun, bantahan aman itu menarik perhatian agensi berkaitan dengan Pengerusi LKIM Faiz Fadzil menyatakan pihaknya akan mengambil tindakan ke atas masalah tersebut jika ia terbukti benar.

“Isu tidak cukup bekalan diesel tidak seharusnya timbul sekiranya penggunaan diesel mengikut kuota yang ditetapkan.

“LKIM melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan tiada ketirisan dalam pemberian subsidi ini. Antaranya, melalui penetapan kuota bagi jualan diesel dan juga penggunaannya oleh setiap vesel. Ini bagi memastikan hanya nelayan yang layak menerima manfaat subsidi ini,” katanya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan