KUCHING, 9 Okt: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyambut baik langkah diambil Kerajaan Sarawak membuat pengambilan guru pelatih di kalangan anak tempatan.
Presiden STU, Kullin Djayang berkata, perkara tersebut sudah lama dicadangkan oleh STU kepada kerajaan negeri bagi membuka peluang pekerjaan kepada semua yang mempunyai ijazah.
“Dengan pengambilan lebih ramai, secara tidak langsung ia akan menambahkan lagi bilangan guru bagi mengisi kekosongan guru yang agak kritikal ketika ini. Di samping itu, juga ia boleh mengurangkan kadar pengangguran.
“Kita juga berharap pemilihan calon guru pelatih akan dijalankan dengan berhati-hati dan haruslah memilih mengikut beberapa kriteria penting iaitu berdasarkan kekosongan subjek, mempunyai minat sebagai guru serta sanggup berkhidmat di mana-mana sahaja di seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemilihan calon guru pelatih juga harus berdasarkan merit yang lebih baik dalam kalangan pemohon demi menjaga kualiti profesion perguruan.
“STU juga sangat setuju dengan cara penempatan guru terlatih nanti yang mengutamakan daerah setiap pemohon agar tidak berlaku penolakan penempatan.
“Kita berharap kerajaan belajar daripada kesilapan seperti itu dalam menguruskan penempatan guru terlatih. Selain berlaku penolakan, kebaikan mengajar di daerah sendiri ialah mudah bagi guru tersebut mengadaptasikan dengan keadaan dan budaya dalam masyarakat tempatan mereka sendiri. Mereka juga boleh menjadi seorang guru yang hebat dan sentiasa berkhidmat untuk anak bangsa sendiri,” ujarnya.
Katanya, STU juga berharap pihak kerajaan negeri akan meneruskan usaha ini pada tahun- tahun yang akan datang sehinggalah masalah kekurangan guru dapat diatasi sepenuhnya. – TVS