KUALA LUMPUR, 9 Okt: TVSarawak (TVS) dilihat telah mengorak langkah dalam industri penyiaran dan kreatif tempatan menerusi pembukaan pejabat cawangannya di ibu negara.
Artis serba boleh, Ifa Raziah berkata stesen televisyen wilayah pertama di Malaysia itu juga menjadi platform yang besar serta luas yang perlu dimanfaatkan oleh penggiat seni tempatan.
“Kita boleh gunakan platform ini untuk memperbanyakkan kandungan kreatif di Malaysia terutamanya mengenai Borneo dan pelbagai kerjasama boleh dilakukan untuk meningkatkan martabat industri.
“Kalau boleh kita nak lihat artis yang bertapak di Semenanjung Malaysia supaya adakan lebih banyak acara atau persembahan di Sarawak dan Sabah,” katanya.
Ifa Raziah ditemui ketika hadir progam TVS Spotlight: Memperluas Sempadan, Menghubungkan Komuniti di Bangsar, di sini semalam.
Penyanyi yang mula dikenali dengan lagu dangdut itu turut menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan TVS pada masa depan.

“Kerjasama ini boleh tercapai menerusi syarikat produksi saya. Ini juga dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana di Sarawak,” katanya.
Sementara itu pelakon dan penerbit, Sharifah Shahora turut menyarakan rumah produksi di Kuala Lumpur bekerjasama dengan TVS bagi meluaskan dan mengetengahkan kandungan yang baharu dan unik.
Jelas artis yang mesra disapa Shora itu, TVS memiliki kelainan dalam penghasilan kandungan berbanding stesen televisyen yang lain.
“Stesen televisyen di Malaysia tak banyak. Oleh itu setiap stesen perlu ada kelainan.
“Saya lihat, TVS memiliki keistimewaan itu kerana banyak hasilkan program di luar kotak,” katanya.
Sehubungan itu, Shora berharap agar stesen televisyen di negara ini mengetengahkan kandungan yang segar untuk generasi kini.
Penyanyi Azharina Azhar pula mengakui dia merupakan penonton setia rancangan terbitan stesen televisyen milik Kerajaan Sarawak itu.
Menurutnya, TVS sentiasa menyajikan perkembangan terkini di seluruh Sarawak serta Sabah dan telah menjadi antara stesen kegemarannya.
“Saya dan ibu memang tonton TVS setiap hari kerana kami nak tengok berita di Borneo.
“Saya juga sangat gembira kerana TVS kini melebarkan sayapnya di Lembah Klang. Mungkin pada masa hadapan kami juga akan berkongsi idea dengan TVS,” ujar penyanyi yang mencipta nama menerusi lagu Elergi Sepi.
Sementara itu, pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad pula turut mengakui sedang mengintai ruang dan peluang untuk bekerjasama dengan TVS menghasilkan program baharu.
Uyaina berkata dia kini sudah bersedia untuk mencuba format rancangan yang berbeza dengan identitinya ketika ini.
“Mungkin ramai yang kenal Uyaina sebagai pengacara bual bicara, jadi kalau boleh saya ingin cuba rancangan gaya hidup atau berkonsepkan makan-makan atau travelog,” katanya.
Terdahulu, TVS telah membuka pejabat baharunya di Lembah Klang pada 1 Oktober lalu, dan dalam perancangan untuk membuka pejabat di Sibu dan Bintulu pada masa akan datang. -TVS.