KUCHING, 9 Okt: Jumlah keseluruhan 42 orang Pegawai Tadbir Psikologi dipelbagai agensi kerajaan di Sarawak dilihat masih kurang dibandingkan dengan jumlah penjawat awam yang ada.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, jumlah anggota perkhidmatan awam di Sarawak adalah melebihi 30,000 orang dari semua peringkat
jabatan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya.
Katanya, perkara ini akan menyukarkan Pegawai Tadbir Psikologi yang ada untuk dapat menyelesaikan semua masalah kesejahteraan hidup yang berlaku kepada penjawat awam.
“Saya difahamkan bahawa pada masa ini kita mempunyai 42 orang Pegawai Tadbir Psikologi yang telah pun ditempatkan di pelbagai agensi bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif melalui program kesedaran intervensi dan pembangunan Kendiri.
“Saya percaya bahawa 42 orang ini tidak cukup dengan jumlah anggota perkhidmatan awam kita melebihi 30,000 orang dari semua peringkat jabatan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan saya tidak fikir mereka ini akan dapat menyelesaikan semua masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Konferen Jubli Psikologi, Kaunseling dan Kesejahteraan Perkhidmatan Awam Sarawak Tahun 2024 di Kuching pada Selasa.
Tambahnya, mewujudkan satu suasana kondusif di tempat kerja merupakan satu langkah yang strategik dalam mengelakkan tekanan serta mewujudkan satu suasana harmoni dalam menjamin kesejahteraan penjawat awam.
Jelasnya, langkah pencegahan perlu diutama bukannya melalui intervensi-intervensi sahaja selain para penjawat awam perlu terus menyokong usaha yang diambil agensi masing-masing dan mengambil serius terhadap isu kesejahteraan diri kita sendiri. -TVS