MIRI, 9 Okt: Kerajaan Sarawak giat melaksanakan projek bekalan air berimpak tinggi di Bukit Song Miri yang kini sedang dalam fasa pembinaan.
Projek bernilai RM41.4 juta itu bertujuan meningkatkan infrastruktur dan sistem bekalan air di kawasan Beluru, Bekenu, Niah, dan Subis.
Ia melibatkan pembinaan stesen pam penggalak baharu berkapasiti tiga juta liter di Pekan Bekenu dan pemasangan paip sepanjang 31 kilometer bagi memenuhi keperluan air bersih penduduk di kawasan terbabit.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi ketika mengadakan lawatan kerja rami ke Stesen Penggalak Song di Miri hari ini berkata, projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2025.
“Apabila projek ini siap sepenuhnya, ia akan meningkatkan kapasiti pengeluaran bekalan air bersih kepada pengguna di Bekenu, Beluru, Niah, dan Subis sekali gus memberi jaminan kualiti kehidupan lebih baik kepada penduduk di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau turut memaklumkan projek tersebut adalah sebahagian daripada enam pakej utama yang sedang dijalankan, dengan kos keseluruhan sebanyak RM85.2 juta.
“Pakej ini melibatkan pembinaan pam penggalak, takungan dan saluran paip dengan nilai RM41 juta daripada keseluruhan projek,” ujarnya.
Menurutnya, usaha untuk menggantikan paip lama sedang giat dijalankan Kerajaan Sarawak.
“Ini adalah bagi memastikan kapasiti aliran air bersih dapat ditingkatkan di kawasan perumahan. Sejumlah RM517 juta diperuntukkan melalui dana alternatif Sarawak untuk menyokong pelbagai projek berkaitan bekalan air di seluruh wilayah ini.
“Dengan perancangan rapi dan sokongan kewangan, Kerajaan Sarawak komited untuk memastikan bekalan air bersih yang berterusan dan mencukupi bagi seluruh kawasan luar bandar di negeri ini,” jelasnya.-TVS