BINTANGOR, 9 Okt: Pesta Meradong yang sebelum ini dikenali sebagai Pesta Bintangor bakal berlangsung pada 23 November hingga 1 Disember.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penjenamaan semula pesta itu adalah hasil ilham dan cadangan Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS, Datuk Abdullah Saidol yang juga ADUN Semop.
Cadangan itu katanya dipersetujui sebulat suara oleh ahli jawatankuasa pesta berkenaan.
“Malah, kita juga sepakat untuk menetapkan tarikh pesta ini pada 23 November hingga 1 Disember,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Induk Pesta Meradong di sini, hari ini.
Menurut Kuong Hiing, Pesta Meradong bakal menjadi platform penting mempromosi daerah itu sebagai destinasi agropelancongan.
Malah katanya, Meradong juga cukup sinonim dengan jolokan bakul makanan Sarawak berikutan kaya dengan hasil pertanian.
“Tidak sekadar itu, pesta ini juga menjadi simbolik perpaduan di samping meningkatkan sosioekonomi rakyat melalui aktiviti keusahawanan, jualan dan promosi produk, ” ujarnya.
Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Meradong Thomas Geoffrey Kendawang dan Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau , Lau Chi Sing. -TVS