KUCHING, 9 Okt: Seorang pesara dari daerah Kuching kerugian RM660,000 selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud di laman sosial Facebook.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, mangsa berusia pertengahan 70-an tertarik dengan kursus pelaburan yang ditawarkan oleh seorang individu yang tidak dikenali iaitu suspek yang berperanan sebagai tenaga pengajar kursus ketika berada di rumah penghujung Julai 2024.
“Mangsa telah menghubungi suspek dan diarah menghubungi pihak Grandpine Capital Learning Centre untuk mendapatkan bimbingan semasa berkursus selama dua minggu.
“Mangsa turut diarahkan untuk memuat turun aplikasi pelaburan ‘Grandpine Capital Learning Centre’ dan mendaftar akaun milik mangsa, setelah selesai kursus mangsa telah diarahkan oleh suspek untuk membeli saham di dalam aplikasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa yang terpedaya telah membuat pembayaran secara pindahan wang dalam talian bermula daripada pertengahan Ogos hingga pertengahan September 2024.
“Mangsa telah melakukan beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam beberapa nombor akaun bank yang berbeza berjumlah lebih kurang RM660,000.
“Mangsa telah menyedari dirinya ditipu apabila suspek masih meminta mangsa membuat transaksi lain dan sehingga kini, mangsa masih belum menerima sebarang pulangan keuntungan daripada pelaburan tersebut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-TVS