KUCHING, 9 Okt: Seorang pengusaha perniagaan di bandar raya ini kerugian RM560,000 selepas menjadi mangsa penipuan ‘phone scam’.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 50-an pada pertengahan September 2024 dihubungi oleh seorang individu yang tidak dikenali.
“Suspek memberitahu bahawa terdapat satu bungkusan milik mangsa dikesan berada di Perlis, setelah itu suspek mengarah mangsa untuk menghubungi seorang individu iaitu suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dari Perlis.
“Mangsa berurusan dengan suspek selama lebih kurang dua minggu melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa yang terpedaya lalu membuat pindahan wang atas talian pada awal Oktober 2024 dengan melakukan transaksi wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek berjumlah lebih kurang RM560,000.
“Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas menceritakan kejadian itu kepada isterinya,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-TVS