KUALA LUMPUR, 9 Okt: Negara-negara ASEAN perlu mengambil peluang meneroka skim pengimbangan dan pengurangan karbon untuk fasa mandatori penerbangan antarabangsa (CORSIA).
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata penyertaan itu penting bagi menyokong usaha membendung kesan penerbangan terhadap perubahan iklim.
Jelas beliau, CORSIA menyediakan peluang pasaran karbon yang selaras dengan komitmen ASEAN untuk mengurangkan karbon di rantau ini.
“Namun setakat ini tiada projek yang dilaksanakan oleh negara anggota ASEAN layak untuk menyertai program berkenaan.
“Kebanyakan negara di sekitar rantau ini merupakan hab penerbangan dan sangat rugi sekiranya kita tidak dapat membuka pasaran kredit karbon.
“Oleh itu kita perlu meneroka peluang dan insentif kewangan daripada program imbangan ini dengan mengambil kira permintaan besar yang perlu dipenuhi kepada bekalan kredit karbon berintegriti tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Karbon ASEAN, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Ching Thoo Kim.
Sementara itu Nik Nazmi turut menekankan kepentingan kerjasama secara kolektif perlu dilaksanakan oleh negara anggota ASEAN untuk memanfaatkan potensi skim itu.
“Permintaan untuk mengimbangi pelepasan karbon di ASEAN diunjurkan mencecah 10.5 juta tan setara karbon dioksida (tCO2e) menjelang 2027.
“Dianggarkan bahawa permintaan global untuk kredit CORSIA akan mencapai 100 juta MtC2e semasa fasa pertamanya, 2024 hingga 2026.
“Dengan piawaian pematuhan yang tinggi untuk pengimbangan karbon membolehkannya untuk dijual dan harga premium dan segar yang lebih baik untuk pasaran kredit karbon,” katanya.
Kumpulan Bertindak Pengangkutan Udara (ATAG) menerusi laman sesawangnya berkata syarikat penerbangan dan pengendali pesawat laluan antarabangsa dikehendaki untuk mematuhi skim CORSIA bermula 2027, bagi mengimbangi sebarang peningkatan dalam pelepasan karbon melebihi paras 2020. -TVS.