Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Muzium Hang Tuah yang terletak di Hang Tuah Centre di Duyong di sini mula dibuka semula sejak 1 Okt lepas setelah setahun ditutup bagi kerja-kerja menaik taraf kompleks berkenaan. Foto Bernama

Muzium Hang Tuah guna teknologi AI papar kisah Hang Tuah

ByBernama

MELAKA, 9 Okt: Muzium Hang Tuah yang terletak di Hang Tuah Centre, Duyong di sini, mencipta sejarah sebagai muzium pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memaparkan kisah Laksamana Hang Tuah.

Kurator Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Norzaifirah Zaini berkata penggunaan AI dalam imej peragaan interaktif itu dibangunkan oleh konsultan tempatan dan bertujuan menarik pengunjung selepas Muzium Hang Tuah dibuka semula pada 1 Okt lepas.

Beliau berkata pendekatan baharu itu dilakukan sebagai satu daripada usaha menambah nilai produk pelancongan negeri berkenaan sekali gus menarik taraf muzium berkenaan yang sebelum ini ditutup selama setahun bagi kerja-kerja berkenaan.

“Menerusi penambahbaikan yang dilakukan ini, lebih banyak penggunaan AI dalam imej peragaan interaktif dipaparkan kepada pengunjung untuk menceritakan kisah atau sejarah berkaitan Hang Tuah.

“Pendekatan ini memberi pengalaman lebih menarik kepada pengunjung untuk mengetahui lebih mendalam mengenai Hang Tuah sekali gus mengelak pengunjung berasa bosan dengan hanya membaca maklumat yang dipaparkan secara bertulis,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penggunaan teknologi hologram yang memaparkan pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat juga terdapat di muzium berkenaan manakala kaedah ‘virtual tour’ digunakan bagi menceritakan aktiviti perdagangan Hang Tuah di serata dunia.

Lebih menarik katanya pengunjung turut berpeluang menyaksikan teater berkaitan pelayaran Hang Tuah sebagai Laksamana Melaka di teater mini yang dipaparkan pada slaid video selama kira-kira tiga minit.

Norzaifirah berkata selain kerja-kerja menarik taraf muzium berkenaan yang juga dikenali sebagai Rumah Hang Tuah, ia turut melibatkan empat lagi rumah sahabat pahlawan berkenaan iaitu Rumah Hang Jebat, Rumah Hang Kasturi, Rumah Hang Lekir dan Rumah Hang Lekiu.

Menurutnya kawasan sekitar Hang Tuah Centre, turut dinaiki taraf khususnya melibatkan aspek landskap termasuk membangunkan beberapa monumen gergasi berkaitan Melaka seperti tangga rumah Melaka, keris dan buaian.

Muzium Hang Tuah dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula 9 pagi hingga 5 petang dan tiket masuk adalah sebanyak RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak lima hingga 12 tahun.

Sebelum ini, media melaporkan Hang Tuah Centre termasuk Muzium Hang Tuah ditutup selama setahun bagi kerja-kerja menaik taraf melibatkan peruntukan lebih RM3.81 juta yang disalurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Selain itu, beliau berkata persatuan silat yang berminat untuk mengadakan latihan pada waktu malam di gelanggang yang terdapat di Hang Tuah Centre juga dialu-alukan.

“Di Hang Tuah Centre, kami juga menyediakan auditorium untuk aktiviti seminar, bengkel, atau taklimat, selain menawarkan sewaan tapak bagi penganjuran majlis perkahwinan,” tambahnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan