KUALA LUMPUR, 9 Okt: Kerajaan akan membekalkan tenaga elektrik hijau ke Singapura di bawah Energy Exchange Malaysia menjelang hujung tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tenaga itu dibekalkan daripada jualan lelong tenaga boleh baharu rentas sempadan yang pertama kepada pengimport tenaga di republik berkenaan.
Jelas beliau, persetujuan itu merupakan sebahagian daripada usaha membangunkan inisiatif integrasi bekalan elektrik serantau melalui ASEAN Power Grid (APG).
“Grid bersepadu ini juga boleh menjadi pemangkin ekonomi dalam memupuk kerjasama serantau
melalui perdagangan tenaga boleh diperbaharui rentas sempadan.
“Menerusi perkongsian lebihan tenaga, kita boleh mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil sambil membina bersepadu infrastruktur tenaga ASEAN,” katanya.
Fadillah berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Peralihan Tenaga Bersih Asia di Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2024 di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata hasrat itu juga mencerminkan usaha Malaysia dalam memacu perubahan untuk mewujudkan sistem dan landskap tenaga serantau yang lebih mampan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan akan terus berusaha menarik pelaburan asing yang berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi mampan negara ini, bagi memenuhi peningkatan permintaan global untuk tenaga elektrik hijau.
Beliau turut menyeru kepada negara-negara anggota untuk menjalinkan kerjasama strategik bagi meneroka peluang dalam ekonomi hijau bersama-sama pihak berkepentingan industri dan rakan sejawat ASEAN.
“Dengan menggabungkan sumber dan kepakaran, kita boleh mempercepat projek tenaga lestari yang memacu pelaburan dan memupuk inovasi teknologi.
“Sekarang adalah masa untuk menyatukan usaha kita, mencipta penyelesaian yang memenuhi permintaan tenaga hari ini sambil membuka jalan ke arah yang berdaya tahan dan mampan masa hadapan,” katanya. -TVS