KUALA LUMPUR, 9 Okt: Pemain boling kebangsaan Gillian Lim membuktikan reputasinya sebagai antara pemain terbaik negara apabila menjulang gelaran Juara Kebangsaan semalam.
Kejayaan berkenaan dicapai oleh atlet berasal dari Miri, Sarawak itu pada Kejohanan Kebangsaan Ke-46 di Sunway Megalanes.
Dalam perlawanan akhir, Gillian menewaskan pemain Kuala Lumpur, Nur Syazwani Sahar dengan keputusan 164-158.
Gillian berkata, dia berbangga dengan pencapaian itu kerana menjadi pemain ketiga negara meraih gelaran Juara Kebangsaan dan Juara Terbuka Antarabangsa Malaysia pada tahun sama.
“Sebenarnya tidak mudah untuk menang ketika beraksi semalam berikutan keadaan minyak pada permukaan lorong yang agak mencabar.
“Namun saya tetap fokus dan memastikan dapat melakukan balingan terbaik,” katanya.
Pada step ladder pertama, Nur Syazwani menewaskan Sharon Koh untuk bertemu Gillian.
Sementara itu Kuala Lumpur menguasai kategori lelaki apabila tiga wakilnya mara ke step ladder.
Kejutan berlaku apabila Muhammad Hazim Ali Hanifah muncul juara dengan menewaskan pemenang lima pingat emas Kejohanan Asia, Rafiq Ismail dengan keputusan 267- 241.
Pemain Sarawak, Chong Jun Fo menamatkan cabaran di tempat kelima dan Musayyar Khalid di kedudukan ke-10. -TVS.