LAOS, 9 Okt: Pemimpin Asia Tenggara bertemu di Vientiane, Laos, untuk berbincang dengan wakil junta Myanmar pada sidang kemuncak serantau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada Rabu sebagai usaha diplomatik untuk menghentikan perang saudara di negara itu.
Laut China Selatan yang dipertikaikan juga akan menjadi agenda pada perhimpunan negara ASEAN itu selepas beberapa bulan pertempuran ganas antara kapal China dan nelayan Filipina dan Vietnam.
Selama tiga tahun ASEAN telah gagal dalam usaha mencari penyelesaian rundingan bagi krisis Myanmar, yang telah menyebabkan beribu-ribu orang mati dan memaksa berjuta-juta orang meninggalkan rumah mereka.
Blok itu sebelum ini pernah menghalang pemimpin junta daripada sidang kemuncak mereka berikutan rampasan kuasa pada Februari 2021 dan jeneral junta sebaliknya menolak jemputan untuk menghantar wakil “bukan politik”.
Namun selepas tiga tahun setengah junta akhirnya bersetuju menghantar seorang pegawai kanan kementerian luarnya ke mesyuarat yang diadakan kali ini di Laos.
Pusingan ‘U’ itu datang dua minggu selepas tentera mengeluarkan jemputan yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada musuh-musuhnya untuk rundingan yang bertujuan menamatkan konflik, berikutan beberapa siri kekalahan di medan perang. – TVS