KUALA LUMPUR, 8 Okt: Stesen televisyen wilayah pertama di Malaysia, TVSarawak (TVS) melebarkan sayapnya ke ibu negara dengan membuka pejabat di Lembah Klang pada 1 Oktober lalu.
Ketua pegawai eksekutifnya, Kushairi Abang berkata langkah strategik berkenaan membolehkan stesen televisyen milik Kerajaan Sarawak itu meneroka peluang baharu di Semenanjung Malaysia.
Kata beliau, stesen yang beroperasi sejak empat tahun lepas itu juga mahu mempelbagaikan liputan berita dan kandungan.
“TVS kini sedang meneroka kaedah baharu bagi menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak merentas bidang termasuk dalam penajaan dan pengiklanan, serta penggunaan teknologi baharu.
“Tujuan kita membuka pejabat baharu di sini adalah untuk liputan berita dan kandungan yang menarik, selain bagi tujuan pemasaran dan perhubungan awam,” katanya.
Kushairi berkata demikian pada Pelancaran TVS Spotlight: Memperluas Sempadan, Menghubungkan Komuniti di Pusat Persidangan dan Acara Connexion, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Sarawak Media Group (SMG), Dato Norhyati Mohd Ismail dan Ketua Pegawai Media SMG, Sardon Zainal.
Sementara itu, Kushairi berkata TVS sentiasa mementingkan keaslian dan keterangkuman dalam penghasilan kandungan agar dapat mempamerkan warisan dan budaya kepada masyarakat dalam dan luar negara secara menyeluruh.
Menurutya, TVS berjaya mengendalikan beberapa siaran langsung dan acara-acara utama sejak ditubuhkan pada 2020 seperti Sesi Townhall 7 Tahun Bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2023 dan Sarawak Regatta.
“Salah satu pencapaian paling membanggakan kami ialah liputan Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2024 sepanjang tiga minggu acara itu berlangsung sehingga berjaya yang menarik lebih 85 juta penonton dari seluruh platform,” ujarnya. -TVS