LIMBANG, 8 Okt: Sekolah Pengkalan Jawa ditutup hari ini susulan kawasan dan jalan menuju ke sekolah itu dinaiki air setinggi 0.6 meter hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang. Kapten (PA) Bonnie Madisun berkata, sebuah lagi sekolah rendah, SK Telahak turut dinaiki air, namun tidak menjejaskan sesi pembelajaran sekolah itu.
Beliau berkata, sepasukan anggotanya mengadakan pemantauan di kawasan berisiko terjejas banjir daerah Limbang jam 8.46 pagi.
“Pemantauan yang dijalankan di SK Telahak mendapati kawasan rendah dinaiki air dan operasi persekolahan berjalan seperti biasa.
“Bagaimanapun jalan menuju ke SK Pengkalan Jawa dinaiki air dan hanya dilalui kenderaan pacuan empat roda dan sekolah ditutup sehingga air surut sepenuhnya,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menasihati penduduk untuk sentiasa peka terhadap keadaan air dan berpindah jika tidak selamat.
Setakat ini jelasnya keadaan kawasan yang dipantau masih dalam keadaan selamat dan terkawal.- TVS