KUCHING, 8 Okt: Sarawak merancang untuk mewujudkan sebuah pusat ekosistem pengumpulan data yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi wilayah ini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata Pusat Data terbabit akan menjadi platform bagi kerajaan negeri menganalisis sumber yang ada di wilayah ini untuk rujukan pada masa hadapan.
“Contohnya, apabila kita melancarkan tapak satelit, di dalam satelit itu nanti akan data dan maklumat yang dapat disimpan. Jadi, perkara ini memudahkan kita untuk mengetahui apa yang berlaku di Sarawak.
“Apabila wujudnya sebuah Pusat Data, kita dapat mengumpul data-data yang mendorong kepada perkembangan ekonomi kita. Tetapi yang paling penting ialah kita mesti mempunyai latar belakang untuk mempunyai Pusat Data,” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Aerospace Academy di CENTEXS, Lundu di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Abang Johari turut menyifatkan pelancaran tapak satelit yang akan dibangunkan di Lundu – Sematan bakal memberi impak positif kepada ekonomi Sarawak.
“Selain Pusat Data, kita ada industri aeroangkasa (di sini). Jadi, satelit merupakan salah satu daripada bidang di mana ia menjadi alat untuk mengumpul data dan menyimpan data. Kemudian data ini memberi impak postif dalam merancakkan ekonomi kita,” ujar beliau.
Terdahulu, beliau mendeahkan Sarawak bercadang untuk mewujudkan hab industri aeroangkasa negara susulan potensi besar dalam bidang itu terutamanya bagi mewujudkan tenaga mahir dalam bidang berkenaan.
Justeru itu, kata beliau kerajaan negeri sedang giat bekerjasama dengan Institusi Pendidikan Awam dan Industri Aeroangkasa Kebangsaan Malaysia sebagai persediaan untuk membangunkan tenaga kerja dalam bidang itu di wilayah ini.
Dalam pada itu, Abang Johari memuji CENTEXS Lundu yang menyahut cabaran kerajaan negeri untuk menubuhkan Akademi Aeroangkasa di sini dengan menyediakan pelbagai aktiviti serta program berkaitan aeroangkasa dan penerbangan, termasuk kajian yang bertujuan menawarkan pendidikan dan latihan penerbangan yang komprehensif.
Hadir sama, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Azman Mohd. – TVS