PAKAN, 8 Okt: Penubuhan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) yang kini mencecah usia tahun emas diakui berjaya meningkatkan ekonomi masyarakat luar bandar di wilayah ini ke arah positif, kata Tan Sri William Mawan Ikom.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan itu meyakini pembangunan yang diterajui pihak SALCRA membawa arus kemajuan dan kemodenan fasiliti serta kemudahan yang memberi keselesaan masayarakat terutama di pedalaman Sarawak.
“SALCRA benar-benar mampu mengubah wilayah ini dan ia sudah bertahan agak lama dari satu kawasan ke kawasan yang lain.
“Setakat yang kita tahu, ia (SALCRA) bukan sahaja boleh mewujudkan peluang pekerjaan, tetapi terdapat juga perkara lain seperti anda boleh memiliki kilang sendiri termasuk dari segi ketersambungan dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penangguhan Agriculture Community Outreach Programme (Agricop), di Rh. George Anak Chungut, di sini, hari ini.
Mengenang kembali menurut William sekitar 10 tahun lepas, sentimen mengenai SALCRA juga pernah dijadikan isu yang dipolitikan untuk kepentingan sesetengah pihak.
“Apabila anda bercakap tentang SALCRA, walaupun semua orang tahu ia akan mentransformasikan kawasan pedalaman, tetapi ada sesetengah pihak berkata ia merupakan satu sistem di mana mereka mahu merompak tanah rakyat. Tidak!
“Tetapi kini ia telah terbukti dengan pelan pembangunan yang benar-benar dapat membawa peluang ekonomi baharu kepada masyarakat, jadi sekarang ini mereka sanggup (untuk bekerjasama),” ujarnya.
Terdahulu, majlis menyaksikan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Ladang Kelapa Sawit SALCRA di Nanga Tebok, Ulu Sungai Wak, di sini. – TVS