BINTULU, 8 Okt: Seorang pejalan kaki lelaki maut selepas menjadi mangsa langgar lari di Jalan Nyabau berdekatan Loji LAKU di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Bintulu.
“Siasatan awal mendapati satu mayat lelaki terbaring di lorong kanan jalan dipercayai telah dilanggar oleh sebuah kenderaan yang melarikan diri selepas kejadian.
“Kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa ingin menyeberang jalan di lokasi kemalangan tersebut, tiba-tiba mangsa dilanggar oleh sebuah kenderaan yang datang dari arah lampu isyarat Flyover Batu 6 menuju ke arah Tanjung Kidurong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
“Pihak PDRM sedang mengesan kenderaan yang terlibat dalam kejadian, sekiranya ada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh tampil dan menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Pung Ting Khang, Balai Trafik Bintulu di talian 086-338575 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu 086-318304,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -TVS