KUCHING, 8 Okt: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di 13 daerah di wilayah ini sebagai usaha menangani isu dadah di seluruh Sarawak.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daerah yang terlibat adalah Lundu, Belaga, Marudi, Matu Daro, Maradong, Simujan, Julau, Lubok Antu, Kanowit, Saratok, Tatau, Dalat dan Song.
“Sebelum ini kesemua kawasan berkenaan tidak dilengkapkan perkhidmatan JSJN,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum Khas Narkotik anjuran bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan One Stop Committee bagi menangani isu dadah dan substans di Sarawak pada Selasa.
Selain itu, Ayob mendedahkan PDRM bakal menubuhkan pejabat Sekretariat Nukleus Narkotik (SNN) di Tebedu, Serian yang dikendalikan oleh Bahagian Antarabangsa Narkotik Bukit Aman.
“Pejabat tersebut ditempatkan di Balai Polis Tebedu, Serian bagi memastikan pihaknya dapat memantau aktiviti-aktiviti dadah yang melibatkan sempadan Malaysia dan Indonesia.
“Pejabat itu akan dilengkapkan dengan tiga buah kenderaan 4WD sumbangan Kerajaan Sarawak bagi memudahkan pihak polis Sarawak untuk menjalankan pemantauan di sempadan.
“Maka, kami dari pihak PDRM Bukit Aman amat berterima kasih dan menghargai jasa kerajaan Sarawak kerana ia merupakan satu-satu negeri yang memberi banyak bantuan kepada pasukan kami dari segi kewangan dan peralatan bagi kita menangani isu dadah,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah turut berharap inisiatif menempatkan pegawai JSJN di 13 daerah di wilayah ini mempersiapkan penguatkuasaan untuk menangani isu dadah dan substans di Sarawak selepas ini. – TVS