KUCHING, 8 Okt: Penubuhan Biro One Stop Committee (OSC) Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) mempertingkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap penyalahgunaan dadah terutama di kawasan luar bandar, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata penubuhan OSC – MIDS sejak 2018 di wilayah ini adalah inisiatif kerajaan negeri mempergiatkan kompetensi kesedaran secara pencegahan, rawatan dan pemulihan penagihan dalam kalangan masyarakat sekali gus membantu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) membanteras isu tersebut.
“Kesedaran adalah kunci dalam memerangi penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat tempatan (kerana dadah) musuh nombor satu negara, salah guna dadah akan menimbulkan masalah-masalah sosial lain seperti jenayah, kesihatan mental, keganasan rumah tangga, gelandangan, kemiskinan dan keruntuhan institusi keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Forum Khas Narkotik anjuran bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan One Stop Committee (OSC) Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) di sini pada Selasa.
Beliau memberitahu sejak OSC – MIDS ditubuhkan hingga kini Kerajaan Sarawak telah menyalurkan sejumlah RM20juta kepada biro terbabit dan Persatuan Pencegahan Dadah Sarawak (Pemadam).
“Hasilnya, kita sudah mula melihat impak positif terhadap kesejahteraan sosial,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menaik taraf stesen Imigresen, Kastam, Kurantin dan Keselamatan (ICQS) di sempadan Sarawak dengan menghalang pintu masuk itu terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah.
Difahamkan menurut statistik, peningkatan yang ketara dalam jumlah dan nilai rampasan serta tangkapan melibatkan aktiviti penyalahgunaan dadah dan substans di Sarawak antara 2022 dan 2024 dianggarkan bernilai RM190 juta telah dapat mengurangkan permintaan terhadap dadah serta menyelamatkan ramai remaja dan belia Sarawak daripada terjebak penyalahgunaan dadah.
Selain itu, kadar ‘help-seeking’ bagi rawatan dan pemulihan penagihan dadah di Sarawak adalah pada nisbah 1:4, lebih baik daripada kadar antarabangsa (nisbah 1:5) dan kadar kebangsaan (1:6). Manakala bagi kadar residivis di penjara-penjara di Sarawak adalah 0.88 peratus di mana kadar ini adalah terendah di Malaysia.
Sehubungan itu, Abang Johari berharap agar dengan usaha yang berterusan daripada pihak berwajib di Sarawak akan menurunkan nisbah 1:3 jelang tahun 2026.
Bercakap mengenai forum hari ini, Abang Johari meyakini ia adalah komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan seimbang dengan memfokuskan pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial.
“Pendekatan ini adalah selari dengan satu daripada objektif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030)Â Kerajaan Sarawak, iaitu Social Inclusivity,” ujar beliau. – TVS