Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dr. Ling Jia Nee ditemui pemberita di Hospital Umum Kuching pada Selasa. Foto TVS

Merungkai cabaran penyakit Alzheimer, rawat sebelum terlambat

KUCHING, 9 Okt: Tidak ramai tahu penyakit Alzheimer merupakan punca kematian ketujuh paling biasa di dunia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bilangan pesakit Alzheimer diramal meningkat tiga kali ganda menjelang 2050.

Merungkai cabaran penyakit Alzheimer | TVS

Prihatin terhadap masalah kesihatan tersebut, Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM) bersama-sama salah seorang pakar geriatrik dan tenaga pengajar sukarela ADFM, Dr. Ling Jia Nee berusaha merungkai sekali gus mendidik masyarakat di seluruh negara tentang Alzheimer serta isu yang berkait rapat dengan penyakit itu bagi meminimakan kesan penyakit berkenaan.

“Masalah berkaitan dengan daya ingatan akan terlintas di minda ramai orang, apabila kita berbicara mengenai dementia, Sebenarnya, dementia ini diibaratkan seperti satu payung yang besar dengan pelbagai spektrum warna dan Alzheimer ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada cabang atau spektrum dementia tersebut.

“Alzheimer ini lebih dominan karakternya kerana hampir 70 hingga 80 peratus invidividu menghidap atau menunjukkan simptom berkaitan Alzheimer,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Umum Kuching pada Selasa.

Tambah Dr. Ling, apabila bercakap mengenai penyakit Alzheimer, persepsi atau tanggapan masyarakat tidak akan terlepas untuk mengaitkannya dengan dementia.

Penyakit Alzheimer lazimnya akan menjadi asbab utama kepada dementia atau nyanyuk yang mana ia menyebabkan kerosakan fungsi kognitif otak secara berperingkat dan pada jangka masa panjang akan menyebabkan seseorang pesakit sukar untuk berfikir dan untuk mengingati sesuatu, berbahasa, mengawal tingkah laku serta membuat keputusan.

Menurut hasil dapatan kajian serta survei yang dilakukan oleh ADFM, negara ini akan menghadapi risiko peningkatan penyakit berkaitan Alzheimer sekiranya perkara tersebut tidak dibendung dengan lebih awal.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan pada sekitar 10 tahun lalu, hanya 8.5 peratus kes atau pesakit menghidap dementia dilaporkan tetapi menurut laporan yang dikeluarkan pada tahun 2020, peratusan kes berkaitan dementia dijangka meningkat kepada 11 peratus menjelang tahun 2030 atau dalam lingkungan 260,000 ke 263,000 orang yang berkemungkinan menghidap dementia.

“Namun, apa yang lebih mengejutkan, apabila pada tahun 2050, peratusan pesakit dementia akan meningkat sebanyak 300 peratus atau lebih kurang 800,000 orang atau kes yang bakal dicatatkan,” ujarnya.

Malah jelas Dr. Ling, penyakit tersebut sering kali dihadapi oleh warga emas yang berusia antara 60 hingga 85 tahun di negara ini.

Secara umumnya, ADFM turut menjangkakan lebih 200,000 rakyat Malaysia berisiko mengalamai dementia menjelang 2030 dan jika tidak diatasi dengan kadar segera, negara bakal menyaksikan peningkatan pesakit dementia kepada 312 peratus.

Lantas, dalam usaha untuk membendung penyakit ini daripada berleluasa, Dr. Ling menyeru kepada orang ramai untuk menggembleng tenaga dalam mendepani penyakit Alzheimer serta penyakit lain yang berkaitan dan antara lainnya adalah seperti dementia badan Lewy yang mana ia menganggu perkembangan agregat protein yang tidak normal yang berkembang di dalam sel saraf  seterusnya akan menganggu pergerakan fungsi tubuh badan.

Sejajar dengan usaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penyakit ini, ADFM giat melaksanakan beberapa siri latihan dan jelajah bersemuka atau kursus serta seminar dalam talian (webinar) dalam usaha mendidik warga tentang penyakit Alzheimer serta keseluruhan spektrum yang berkait rapat dengan penyakit tersebut.

“Kita perlu menganjurkan lebih banyak webinar seperti ini untuk meningkatkan pemahaman selain menjaga diri sendiri kerana kita dapat mengenal pasti permasalahan ini di peringkat awal dan seterusnya mendapatkan rawatan dengan segera, sebelum terlambat,” katanya.

Pada masa sama, Dr. Ling turut memuji usaha kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam merealisasikan Pelan Tindakan Dementia 2023 hingga 2030, yang dilihat sebagai mekanisme yang membantu memperkasakan penjagaan kesihatan warga emas menerusi pengurusan pencegahan dan penjagaan diri.

“Pelan Tindakan Dementia sedang giat dilaksanakan bermula tahun ini dan kita melihat banyak usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk merencana masa hadapan dan ini termasuklah menyediakan bantuan serta sokongan kepada penjaga, menempatkan lebih ramai pakar geriatrik di hospital-hospital serta mendidik warga dan ini saya lihat sebagai usaha yang dijalankan oleh kerajaan.

“Namun, apa yang lebih penting bagi saya, adalah kita sebagai satu komuniti, perlu bekerjasama dan menjalankan tanggungjawab kita untuk mendepani isu ini bersama-sama,” ujarnya.

Dr Ling turut menyeru semua pihak mengikuti beberapa siri webinar yang akan dianjurkan Rotary Club Bintulu Central (RCBC) bersama-sama pakar dalam menangani isu penyakit berkaitan dementia dan Alzheimer termasuk cara penjagaan dan sokongan ahli keluarga serta komuniti.

Hari Alzheimer Sedunia disambut pada 21 September dan ia merupakan wadah untuk meningkatkan kesedaran warga dunia tentang penyakit Alzheimer selain sebagai tanda sokongan kepada individu yang terjejas akibat penyakit tersebut. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan